BINTULU: Empat lelaki dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah dalam Ops Tapis Khas se-Malaysia di kawasan pusat komersial Kemena, Jalan Masjid dan Jalan Tun Hussien Onn di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Batholomew Umpit berkata, kesemua suspek masing-masing berusia 17 hingga 42 tahun.

Salah seorang suspek katanya, disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 melibatkan rampasan 5.2 gram dadah jenis syabu.

Bahan bukti yang dirampas daripada suspek dalam Ops Tapis Khas se-Malaysia di Bintulu.

“Manakala seorang lagi di siasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dengan berat rampasan kira-kira 0.8 gram, juga dadah jenis syabu.

“Hasil ujian saringan awal mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kesemua suspek juga di siasat dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tangkapan itu merupakan salah satu usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di daerah ini boleh memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di talian 086-318304.

Suara Sarawak