KAPIT: Sekumpulan warga emas yang terdiri empat lelaki masing-masing dikenakan hukuman denda RM700 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana kesalahan berjudi di tempat awam.

Keempat-empat mereka ialah Mohd Sulaiman Theng Abdullah, 71, Kong Sian Jong, 63, Kong Shiaw Shii, 57, dan Kong Chung Min, 52, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama bermain judi di tempat awam di tepi sebuah restoran di Jalan Temenggung Jugah di sini pada 3 Ogos 2012, kira-kira jam 4.40 petang.

Mengikut fakta kes, pada 3 Ogos 2012, kira-kira jam 4.40 petang, pihak polis telah menyerbu sebuah premis tidak bernombor bersebelahan dengan sebuah restoran di Jalan Temenggong Jugah.

Hasil serbuan itu, pihak polis telah menangkap empat lelaki yang sedang bermain mahjong dan dua lagi lelaki yang disyaki pemilik premis tersebut.

Pihak polis turut merampas 112 biji buah mahjong, sebuah meja, tiga biji dadu, bekas dadu, tujuh buah kerusi dan wang tunai sebanyak RM627.80.

Sisatan pihak polis mendapati keempat-empat tertuduh sedang duduk bermain mahjong sementara dua orang lagi hanya memerhatikan mereka bermain ketika serbuan itu dilakukan.

Kesemua tertuduh dibebaskan setelah membayar denda masing-masing.

Suara Sarawak