KUCHING: Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan malam ini menyaksikan lima Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjawat jawatan sebagai menteri penuh.

Malah buat pertama kali selepas 59 tahun, wakil rakyat dari Sarawak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jumlah tersebut sekali gus meningkat berbanding empat wakil rakyat dari negeri ini yang memegang portfolio menteri penuh sebelum ini, ketika pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman sebentar tadi mengumumkan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri. Fadillah yang juga Ketua Whip GPS turut menjawat jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit yang juga Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memegang portfolio sebagai Menteri Kerja Raya. Beliau sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri yang sebelum ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pula telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Manakala Presiden Parti Demokratik Progresif merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menjawat jawatan sebagai Menteri Pelancongan. Beliau sebelum ini diberikan jawatan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kanowit daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan II, telah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Perpaduan Negara.

Suara Sarawak