KUCHING: Pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Whip GPS itu juga merupakan calon tunggal dan pertama dari kepulauan Borneo (Sabah dan Sarawak) memegang portfolio kedua tertinggi negara. Beliau turut dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Melakar sejarahnya tersendiri, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berikrar akan menggalas tanggungjawab besar tersebut dengan penuh istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

“Jawatan ini bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.

“Insya-Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kita memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu mempunyai pengalaman sangat luas dalam Kerajaan Persekutuan. Mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2008, Fadillah dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013.

Kemudian sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula 30 Ogos tahun lalu.

Suara Sarawak