KUCHING: Firefly Airline merancang untuk melancarkan dua laluan baharu di Sarawak melibatkan Kuching ke Miri dan Kuching ke Kota Kinabalu, pada suku kedua 2023.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Sdn Bhd, Philip See semasa taklimat bersama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin hari ini.

Dalam taklimatnya, Philip See memaklumkan bahawa mereka telah merancang dua laluan baharu untuk Sarawak iaitu Kuching – Miri dan Kuching – Kota Kinabalu bermula suku ke-2, tahun 2023.

Lee Kim Shin menerima cenderahati daripada Philip See.

“Kami berharap dengan tambahan syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan ini, ia akan mewujudkan pilihan penerbangan, ketersediaan, tambang penerbangan yang berpatutan.

“Ia sekali gus menarik lebih ramai penumpang untuk melakukan perjalanan dalam dan ke Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), hari ini.

Sementara itu, Kim Shin mencadangkan kepada pihak Firefly untuk memperkenalkan laluan penerbangan dari Pulau Pinang – Miri.

Philip See membentangkan tayangan slaid mengenai operasi dan rancangan Firefly untuk Sarawak.

Beliau berkata beberapa tahun lalu, terdapat penerbangan terus Pulau Pinang – Miri – Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan lain.

“Justeru, saya meminta Firefly memasukkan Sarawak dalam rancangan pengembangan laluan domestik dan antarabangsa masa depan mereka,” ujarnya.

Perkara lain yang turut dibincangkan termasuk potensi laluan baharu ke atau dalam Sarawak, kekerapan penerbangan, tambang penerbangan dan meneroka bidang kerjasama yang berpotensi dengan pemain perniagaan tempatan dalam industri pelancongan dan percutian.

Pada masa sama, Kim Shin turut berterima kasih  kepada Philip See dan pengurusan FlyFirefly Sdn. Bhd. atas keyakinan, sokongan dan bekerjasama rapat dengan MOTS.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh delegasi Firefly, Ketua Pegawai Operasi  Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See di Tingkat 7, Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak(MoTS) Julin Alen.

Suara Sarawak