KUCHING: Gabungan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) sebagai perantara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan pihak industri akan memudahkan inisiatif strategik kedua-dua pihak.

Timbalan Ketua Pengarah MPC Dr Mazrina Mohamed Ibramsah berkata, Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia memfokuskan untuk mempercepat pelaksanaan strategi, inisiatif dan program peningkatan produktiviti di peringkat nasional, sektor dan perusahaan melalui lima teras strategik.

Ini katanya lagi menjadi sangat penting dalam memudahkan peningkatan produktiviti yang holistik dan sistematik.

DR MAZRINA (duduk tengah) dan Hallman Sabri (duduk tiga kanan) merakamkan kenangan bersama-sama peserta Bengkel Strategik MPC dengan FMSDC – Meningkatkan Produktiviti Melalui Pembangunan Bakat dan Penggunaan Teknologi Terkini di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, baru-baru ini.

“Justeru pada Jun lalu, Majlis Pengawasan Produktiviti Kebangsaan (NOPC) meluluskan FMSDC sebagai perantara yang mampu memudahkan inisiatif strategik antara MPC dan industri.

“Oleh itu, dengan peranan FMSDC yang baru dibentuk, bengkel kali ini memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif bersama awam swasta, termasuk strategi bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

“Selain, pembangunan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula selaras dengan keperluan industri dan penggunaan teknologi terkini termasuk program peningkatan produktiviti rantaian bekalan (program pembangunan vendor) dan program syarikat sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Strategik MPC dengan FMSDC – Meningkatkan Produktiviti Melalui Pembangunan Bakat dan Penggunaan Teknologi Terkini di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, baru-baru ini.

Sementara, Pengarah Eksekutif Kumpulan Institusi Pembelajaran Sarawak Skills Hallman Sabri, yang juga Pengerusi FMSDC menyifatkan satu penghormatan bagi Sarawak Skills untuk bersama-sama menganjurkan bengkel strategik ini.

“Ini sangat membantu ke arah menyokong perkembangan dan trend industri terkini, termasuk penerapan teknologi terkini selaras dengan piawaian kelestarian alam sekitar global bagi mengubah operasi dan amalan sedia ada,” jelasnya.

Suara Sarawak