KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memfokuskan beberapa aspek penting dalam penambahbaikan perkhidmatan pada tahun 2023 untuk kesejahteraan masyarakat.

Datuk Bandarnya Datuk Wee Hong Seng berkata, ia termasuk menaik taraf sistem perparitan dan taman-taman reakreasi di bawah kawasan pentadbirannya.

“Kami menyedari bahawa amat penting untuk penjagaan alam sekitar dan kesihatan orang ramai.
Secara keseluruhan, MBKS akan mengumumkan keseluruhan program yang bakal dilaksanakan pada bulan hadapan.

“Ia termasuk menambah baik dan mengubah suai taman rekreasi Hui Sing. Juga bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menaik taraf sistem perparitan seperti di Stampin dengan peruntukan RM350 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai azam 2023 MBKS selepas menyempurnakan pemasangan Papan Tanda Digital Peringatan Radar Kelajuan di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha itu penting bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan MBKS walaupun langkah sementara sering dilaksanakan seperti membersih serta mendalamkan sungai dan banyak lagi.

“Dalam pada itu, orang ramai diingatkan untuk tidak melakukan pembesaran rumah sehingga boleh menyumbat sistem perparitan kerana saya lihat perkara ini sering terjadi di kawasan-kawasan perumahan yang juga menjadi punca berlakunya banjir kilat,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu MBKS akan meluaskan penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman di semua premis makanan dan minuman di kawasan seliaannya bermula 1 Januari 2023.

Suara Sarawak