LINTAS hormat oleh pemenang. Foto. OSMAN RAZALI

PASUKAN Garuda Embun Berasap dari Kampung Tambak, Pusa dinobatkan sebagai Raja Sungai Regata Lingga 2022 selepas mengungguli acara kayuhan Bidar 30 di Lingga, hari ini.

Anak-anak buah Rajali Sapie yang menggunakan jentera bernombor plat 41 sekali gus membawa pulang hadiah utama RM10,000 dan Piala Raja Sungai.

Walaupun kurang bernasib baik pada acara lain, semangat anak-anak muda untuk merangkul gelaran utama itu tidak pernah pudar.

Naib juara disandang oleh pasukan Imbok Sri Berjaya Setiaraja II yang dimiliki oleh Zulfadhli Semawi, sekali gus memenangi hadiah RM7,000.

Sementara pasukan milik Kadir Manap menerusi jentera Khazanah 68 di tempat ketiga dan pulang dengan hadiah RM5,000.

Untuk acara Bidar 25, juara Cahaya Sulung turut membawa pulang Piala Pusingan Adun Lingga YB Dayang Noorazah Awang Sohor.

Keputusan bagi kayuhan Bidar 20 menyaksikan Khazanah 68 dinobatkan sebagai juara, yang juga membawa pulang Piala Pusingan Ahli Parlimen Batang Lupar YB Mohamad Shafizan Kepli.

Bagi acara Bidar 15 dimenangi oleh Cahaya Helang Tasik. Pasukan Cut Saratok dan Team Komeng masing-masing bergelar naib juara dan pemenang tempat ketiga.

Pasukan Imbok Sri Berjaya Setiaraja II turut memenangi acara kayuhan Bidar 10, dengan Khazanah 68 sebagai naib juara dan Cahaya Sulung di tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Dayang Noorazah.

PASUKAN Garuda Embun Berasap ketika meraikan kemenangan. Foto. OSMAN RAZALI

 

AKSI pusingan akhir kayuhan Bidar 30 bersempena Pesta Lingga 2022.Foto. OSMAN RAZALI

Suara Sarawak