ABANG SUHORDIE….Presiden BDFA.

KUCHING: Gelanggang untuk perlawanan akhir Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022 membabitkan dua pasukan, Jang Bukit Saban dan Semarang Village United yang sebelum ini dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Spaoh, Betong kembali berubah.

Aksi penentu gelaran juara itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Betong, demikian kata Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) Abang Suhordie Abang Zaini.

“Atas masalah yang tidak dapat dielakkan, maka kita terpaksa mengubah kembali gelanggang untuk perlawanan akhir di Kompleks Sukan Betong,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.

Tegas beliau, pihaknya sudah memaklumkan perubahan gelanggang tersebut kepada pengurus kedua-dua pasukan terlibat.

Menurut Abang Suhordie, tiada sebarang perubahan lain dilakukan pihaknya untuk aksi akhir berkenaan.

Dengan kata lain, tarikh ditetapkan pada 18 Disember dengan sepak mula pukul 3:00 petang masih kekal seperti biasa.

“Tarikh perlawanan dan sepak mula masih kekal seperti biasa seperti yang ditetapkan sebelum ini,” jelas Abang Suhordie lagi.

Dalam pada itu, dua pasukan iaitu Saratok FA dan Hermanos FC yang tewas di peringkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.

Suara Sarawak