MUSIM cuti sekolah lazimnya menjadi pilihan pengantin mendirikan bahtera hidup sebagai suami isteri.

Banyak majlis kahwin dilangsungkan sepanjang tiga minggu cuti persekolahan kali ini.

Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, penuhlah jadual hari rehat.

Ibaratnya sepanjang hari itu, hari makan.

Kalau di kampung, majlis kerja kahwin mempunyai auranya tersendiri.

Sungguh tidak seperti di bandar yang lebih gemar menggunakan perkhidmatan katering.

Ini kerana pemilik kerja kahwin mengelak daripada sibuk… tidak pening fikir banyak perkara seperti jamuan.

Hanya bayar kepada penyedia perkhidmatan katering, urusan jamuan sudah boleh berlangsung.

Mudah bukan? Tetapi di kampung, ramai lagi pemilik majlis kerja kahwin menggunakan cara ala lama.

Penyediaan jamuan untuk kenduri kahwin dilakukan secara gotong-royong.

Generasi muda hari ini perlu tahu dan bukannnya datang untuk makan semata-mata.

Di sepanjang Batang Saribas, Kalaka dan sekitarnya, majlis kerja kahwin cukup meriah.

Maknanya bukan sahaja sibuk pada hari kejadian, sebaliknya beberapa minggu atau hari sebelum.

GOTONG-ROYONG MASIH HIDUP

Selesai proses menghantar duit belanja serta mesyuarat kerja dilakukan, seminggu dua terakhir majlis kerja kahwin lazimnya sudah bergerak.

Ketika ini proses membina ‘bangsal’ bermula.

Biasanya siap setengah hari kerana ia dilakukan secara bergotongroyong.

Melibatkan kaum bapa dan anak muda mencari kayu di hutan untuk mendirikan bangsal.

Bahagian atap menggunakan kanvas.

Bagi yang tidak memilikinya, ada tempat menyemah.

Tetapi sekarang mudah, pemilik majlis kerja kahwin sudah ada alternatif dengan menyewa kanopi putih besar.

Seperti penulis sebutkan sebelum ini, mencari kayu di hutan untuk mendirikan bangsal sudah semakin hilang biarpun menghidupkan semangat gotong-royong.

Senang-senang keluarkan sahaja duit.

Inilah yang generasi baharu tidak nikmati, keseronokan dalam majlis kerja kahwin seperti dahulu.

Begitu juga sehari dua sebelum majlis, jika dahulu pemilik majlis kerja kahwin sibuk memikirkan daging serta bahan mentah lain untuk dimasak.

Tetapi hari ini, ada penyedia perkhidmatan katering. Ibaratnya, hanya petik jari dan tetamu datang makan.

Gemar untuk penulis kongsikan di sebalik majlis kerja kahwin di Saribas, masih ramai yang mengekalkan penggunaan cara lama.

Pemilik majlis kerja kahwin ketika ini menyediakan semua bahan mentah yang diperlukan daripada sekecil-kecil garam hinggalah bahagian daging.

Biasanya diurus kaum perempuan dan diketuai salah seorang tukang masak.

Lazimnya selesai seminggu sebelum…barangan ini umpama gunung kecil.

Sementara sehari sebelum atau hari kemuncak, seawal 6 pagi kaum lelaki mengambil ayam hidup yang ditempah awal.

Untuk pengetahuan, penduduk di sini lazimnya memilih menggunakan ayam hidup yang belum disembelih – ayam segar.

Dahulu harganya RM18 ke RM19 seekor.

Kini sudah naik kepada RM22 hingga RM25 seekor.

Tidak dinafi kan nampak mahal tetapi berbaloi kerana seekor ayam biasanya dapat dinikmati 16 ke 20 orang.

PESTA DI TEPI SUNGAI

Selepas ayam disembelih oleh orang berpengalaman, anak muda mengambil alih tugas berikutnya.

Merebus, mencabut bulu, membuang isu perut dan menguru (membakar) semuanya dilakukan anak-anak muda.

Dan semua ini dilakukan di tepi sungai, maka dapatlah digambarkan di tepi sungai ibarat pesta.

Bukannya 10 orang datang membantu, kadang-kadang sehingga 50 orang anak muda menguruskan kerja tersebut.

Seronok dan majlis kerja kahwin pun bertambah meriah.

Sambil bekerja diselit juga dengan usikan.

Sedar tak sedar, 100 ekor ayam siap untuk dipotong.

Tetapi hari ini dengan penggunaan penyedia perkhidmatan katering, ramai anak muda tidak merasai mengalami ini.

Namun, sebenarnya kita hilang nostalgia berharga.

Majlis kerja kahwin sepatutnya memberikan keindahan, namun hilang dek kerana perubahan cara kerja.

Selesai kerja di tepi sungai, ayam siap diproses secara tradisional tadi disambung oleh kaum wanita.

Lazimnya kerja memotong sehinggalah memasak dimonopoli golongan dewasa sebagai tukang masak.

Menariknya, siapa-siapa yang hadir boleh membantu – menghidup amalan gotongroyong.

Bermula tengah hari sehinggalah ke malam, bangsal akan kekal meriah.

Bagi penulis sendiri yang sempat merasainya mengakui tradisi majlis kerja kahwin seperti ini wajar diteruskan.

Ini kerana banyak pengajaran yang kita peroleh.

Pertama tentang semangat kerja gotong-royong.

Ingin ditegaskan, penduduk tidak mengharapkan habuan.

Masing-masing masih mengutamakan – hari ini, hari awak, esok lusa mungkin hari saya.

Tiada sesen pun diharapkan, cukup sekadar kopi dan biskut ‘keben’ serta rokok.

Kedua, amalan bersedekah juga terus hidup.

Sekali gus, kita dapat meringankan beban pemilik majlis kerja kahwin.

Biarpun banyak yang semakin dilupakan, bagi yang pernah merasainya, simpanlah sebagai kenangan untuk dicerita kepada anak cucu pada masa depan.

Kerana penulis percaya trend menggunakan penyedia perkhidmatan katering semakin popular.

Maka, tidak mustahil apa-apa yang dicerita penulis akan hilang.

Masyarakat semakin moden, cukup keluarkan duit – tetamu datang hanya menjamu.

Apa-apa pun untuk generasi baharu, janganlah dilupakan adat lama yang penuh dengan nilai murni.

Suara Sarawak