KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memeterai perjanjian bersama Kerajaan Perpaduan pada hari ini (Jumaat) di Kuala Lumpur.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Setiausaha Agung GPS Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pemeteraian perjanjian itu sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“GPS akan tetap menyokong Kerajaan Perpaduan seperti yang termaktub dalam rundingan untuk membentuk kerajaan sebelum ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata demikian semasa ditemui media selepas menghadiri mesyarat pimpinan tertinggi GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di ibu pejabat PBB di sini, semalam.

“Hari ini, GPS telah mengadakan perjumpaan tidak rasmi untuk berbincang berkenaan sokongan yang diberikan kepada Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri,” ujarnya.

Menurut Menteri Kerja Raya itu, mesyuarat berkenaan juga membincangkan berkenaan draf yang telah dimajukan oleh GPS berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memfokuskan kepada kesefahaman untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Ia juga bagi memperinci dan memperhalusi pandangan GPS yang merupakan gabungan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Objektif utama perkara ini dilakukan adalah untuk memastikan parti-parti yang menyokong kerajaan ini dapat menjalinkan kesefahaman dan bersatu hati dalam pentadbiran Malaysia,” jelasnya.

Hadir sama, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Sri Tiong King Sing dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum.

Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Sri Fadillah Yusof juga hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Suara Sarawak