KUCHING: Sebanyak RM1.88 bilion peruntukan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ke-12 kepada Sarawak telah digunakan setakat Oktober tahun ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jumlah itu adalah 51 peratus daripada RM3.66 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pelbagai agensi untuk melaksanakan 953 projek bagi tahun ini.

“Dari segi prestasi fizikal, 427 projek dalam peringkat pra-pelaksanaan, 301 projek dalam peringkat pelaksanaan, 215 projek pada peringkat pasca-pelaksanaan, sembilan projek di bawah penilaian semula dan satu dibatalkan.

Uggah tiba di komleks DUN bagi menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu sempena persidangan DUN di sini, hari ini.

“Saya menggesa semua agensi pelaksana menyegerakan pelaksanaan projek dan memastikan semua projek disiapkan mengikut jadual bagi mengelak kos berlebihan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sementara, Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata bagi projek yang dibiayai kerajaan negeri di bawah RMK-12, setakat 31 Ogos 2022, sebanyak 113 daripada 740 projek fizikal telah disiapkan manakala baki 627 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya perbelanjaan kumulatif dari 2021 sehingga 31 Ogos 2022 adalah sebanyak RM8.53 bilion.

“Perbelanjaan yang kurang daripada jangkaan ini disebabkan oleh kemajuan yang perlahan dalam pelaksanaan projek berikutan sekatan pergerakan semasa Covid-19.

“Bagaimanapun, dengan aktiviti ekonomi yang disambung semula, pembukaan semula sempadan dan pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh kontraktor seperti mekanisme Variasi Harga (VOP), sudah tentu akan membantu mempercepatkan momentum pelaksanaan projek,” katanya.

Menurut Uggah, sebanyak 1,095 projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak, dengan anggaran siling RM30 bilion telah diluluskan di bawah RMK-12.

Mengenai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Uggah berkata sebanyak 4,120 daripada 5,222 projek yang diluluskan pada 2021 dan 2022 telah disiapkan manakala bakinya, 1,102 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya ia seperti membina jalan kampung, masjid, kuil, gereja, dewan serbaguna, kemudahan rekreasi dan sebagainya yang memanfaatkan khususnya komuniti luar bandar.

Manakala bagi Projek Rakyat, Uggah berkata sebanyak 200 daripada 532 projek yang diluluskan bagi tahun lepas dan tahun ini telah disiapkan, dan 332 lagi projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya di bawah RMK-12, sejumlah RM659.87 juta telah dibelanjakan setakat Oktober tahun ini.

Suara Sarawak