KUCHING: Sebanyak 20,462 akaun Endowment Fund Sarawak (EFS) telah dibuka dari Januari hingga Oktober tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM20.46 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, KanakKanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sejak pelaksanaan pada tahun 2019 sehingga Disember 2021, sebanyak 81,926 akaun EFS telah dibuka dengan peruntukan sebanyak RM81.9 juta.

“Untuk inisiatif Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dari 2020 sehingga Oktober tahun ini, seramai 37,158 orang ibu telah mendapat bantuan sebanyak RM450 secara sekali beri, ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM16.7 juta.

“Bagi pemberian Geran Tahunan Khas (GTK) sebanyak RM5,000 untuk membantu setiap Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK), sebanyak RM13.8 juta telah diberikan dengan memanfaatkan 2,795 IPAKK,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, di sini, kelmarin.

Dalam hal berkaitan, Fatimah memberitahu, melalui Sedidik kementerian menyasarkan 100 peratus gurunya memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2025.

“Setakat 30 November lalu, jumlah pendidik adalah seramai 157 orang. 11 orang (tujuh peratus) mempunyai Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, dan 96 orang (61.14 peratus) memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Sementara itu, 40 orang (25.48 peratus) akan tamat pengajian pada penghujung tahun ini.

Dengan itu pada akhir tahun ini seramai 93.63 peratus guru SeDidik mempunyai sekurang-kurangnya diploma,” jelasnya.

Fatimah juga memberitahu Kerajaan Sarawak menyumbang sebanyak RM7.64 juta kepada 127,412 11 wanita dari kumpulan rentan bagi pencarum Kasih Suri Keluarga Malaysia.

“Sementara untuk penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, Sarawak memperuntukkan RM5.38 juta pada tahun ini, peruntukan tertinggi yang diberikan oleh mana-mana negeri,” tambahnya.

Suara Sarawak