KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meletakkan pelan hala tuju yang jelas ke arah pemulihan ekonomi selepas pandemik melalui Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) termasuk menyelaraskan semula dasar ke arah bumi yang lebih hijau dan tidak berkarbon.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam pada itu pihaknya turut menaruh harapan yang tinggi agar dapat terus meningkatkan hasil negeri yang kini berjumlah kira-kira RM11 bilion, terbesar setakat ini dalam sejarah.

“Malah, kita juga sedang menubuhkan dana kerajaan sendiri bagi menyimpan dan melabur untuk generasi masa depan rakyat Sarawak yang dijangka berkuatkuasa menjelang 2024 dengan suntikan modal permulaan RM8 bilion.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Dana ini bukan sahaja akan untuk menyediakan rakyat dalam menghadapi ‘hari hujan’ tetapi mungkin membolehkan kita menyediakan pendidikan percuma pada masa hadapan,” katanya dalam Perutusan Krismas dan Tahun Baharu 2023, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya Kerajaan GPS telah meletakkan segala yang mungkin dan boleh dalam kuasa mereka untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk Sarawak dan rakyatnya.

Dalam hal berlainan, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada rakyat negeri ini yang telah memberi kepercayaan kepada pihaknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk terus menggalas tanggungjawab menjaga kepentingan serta membawa suara Sarawak ke Parlimen.

“Dengan pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri dan empat menteri penuh dari Sarawak dalam Kabinet Perpaduan tersebut, kita diberi tanggungjawab yang besar untuk memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar untuk tempoh lima tahun lagi.

“Bagi kita, yang lebih penting mengatasi segala yang lain ialah kepentingan dan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.

Tambahnya, platform politik yang bebas melalui pembentukan GPS merupakan langkah yang sebaik-baiknya untuk memastikan suara Sarawak tidak akan tenggelam di persada nasional.

“Tidak ada orang lain yang lebih ikhlas daripada orang Sarawak sendiri dalam perjuangan menegakkan keadilan bagi Bumi Kenyalang yang indah dan permai ini.

“Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat kita tidak kira di mana berada. Saya amat berharap tahun 2023 akan membawa lebih kejayaan kepada Sarawak dan rakyatnya,” katanya.

Suara Sarawak