KUCHING: Penggiat industri kelapa sawit di Sarawak diseru untuk berinovasi dalam menghasilkan produk tenaga yang mampan dan lestari daripada enap cemar minyak sawit.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bahan buangan jenis enap cemar ini merupakan satu lagi produk yang mempunyai nilai tersendiri dan boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga.

“Dalam industri minyak sawit, anda menanam, menghasilkan minyak dan juga biojisim. Pada masa yang sama, anda juga boleh menghasilkan enap cemar dan bahan ini mempunyai nilai.

“Ini kerana dalam penghasilan panel solar yang menyerap tenaga matahari, terdapat teknologi baharu untuk melindungi filem panelnya. Salah satu bahan yang diperlukan adalah enap cemar minyak sawit.

“Bermakna, anda tidak perlu membuang bahan buangan enap cemar yang anda ada. Ia boleh digunakan kembali untuk menghasilkan tenaga yang akan digunakan oleh industri itu sendiri, daripada minyak sawit anda akan menghasilkan semula inap cemar,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata demikian pada Majlis Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) ke-10 2021/2022 di Hotel Waterfront, di sini, malam tadi.

“Inilah yang kita panggil ekonomi pekeliling. Justeru, saya berharap industri berkaitan akan melihat perkara ini kerana saya percaya nilai minyak sawit Sarawak akan diiktiraf, termasuk di Kesatuan Eropah (EU) jika kita mempunyai ekosistem berkenaan,” tambahnya.

Pada majlis yang sama, enam industri telah dinobatkan juara dalam kategori masing-masing termasuk PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Sarawak Asset) bagi kategori Perusahaan Besar, Shin Yang Sdn Bhd -Unit Pengurusan Hutan Linau – T/3228 (Perusahaan Sederhana), Dewan Bandaraya Kuching Utara (Pihak Berkuasa Tempatan). ), Lembaga Pelabuhan Miri (Sektor Kerajaan), Datuk Chris Chung Soon Nam (Kategori Terbuka) dan The Round Tower 1886 Cafe & Restaurant (Kategori Kedai Makanan).

Suara Sarawak