Julaihi ketika berucap pada majlis Hari Integriti Lembaga Air Kuching 2022 “Integriti Amalan Kita” di Dewan Baitulmal Kuching

KUCHING: Sikap integriti merupakan amalan teras yang perlu ada di setiap agensi bagi memastikan visi, misi dan fungsi sesebuah agensi secara keseluruhannya dapat dicapai, kata Datuk Julaihi Narawi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi itu berkata, ia memainkan peranan penting selain memiliki nilai profesional dan kerja berpasukan tinggi dalam sesebuah organisasi.

“Moto Lembaga Air Kuching (LAK) iaitu ‘Integriti Amalan Kita’ bersandarkan kepada realiti bahawa setiap kita perlu bersama-sama memelihara maruah diri dan keluarga dengan penuh berintegriti.

“Dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab, kita sememangnya tidak dapat lari dari tohmahan, fitnah, aduan sehingga siasatan dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tidak kira sama ada kita masih berkhidmat atau tidak.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa beringat termasuklah diri saya supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Hari Integriti Lembaga Air Kuching 2022 “Integriti Amalan Kita” di Dewan Baitulmal Kuching, di sini, hari ini.

Untuk itu katanya, penting agar setiap keputusan atau tindakan yang dibuat dilaksanakan dengan penuh amanah, telus, dan patuh kepada peraturan, garis panduan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Maka tambahnya, Majlis Sambutan Hari Integriti 2022 LAK menunjukkan komitmen organisasi tersebut untuk membudaya serta menyemarakkan integriti dalam diri setiap kakitangan.

SIMBOLIK… Julaihi dan Rodziah bersama-sama yang lain merasmikan Hari Integriti Lembaga Air Kuching 2022 “Integriti Amalan Kita”

Suara Sarawak