Pengurus Terminal IOTM, Pauzi Plin menerima sijil daripada Datuk Khirudin Drahman, semalam.

KUCHING: IOT Management Sdn Bhd (IOTM), anak syarikat kepada Senari Synergy Sdn Bhd menerima Anugerah Tempat Kerja Selamat bersama enam lagi syarikat lain kerana mengekalkan amalan keselamatan dan kebakaran yang baik di tempat kerja.

Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy Jefri Ahmad Tambi berkata, anugerah itu merupakan penghargaan kepada IOTM atas komitmennya terhadap keselamatan.

“Kumpulan kita komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan kesihatan yang tinggi dalam semua aspek operasi kami.

“IOTM telah merekodkan sembilan juta jam masa kerja tanpa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jefri turut memaklumkan Senari Synergy dan anak syarikat operasinya termasuk IOTM dan Tanjung Manis Oil Terminal Management Sdn Bhd (TMOTM), Tanjung Manis Oil Terminal Management System Sdn Bhd (TMOTM) dan Borneo Asphalt Sdn Bhd (BASB) telah melangkaui penanda aras industri dengan menerima jam kerja yang mengagumkan tanpa kehilangan masa.

“IOTM sentiasa memastikan tempat kerja dilengkapi dengan kemudahan keselamatan termasuk peralatan memadam kebakaran terkini dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) dalaman yang bersiap sedia 24/7 bagi sebarang kecemasan,” tambahnya lagi.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman kepada Pengurus Terminal IOTM, Pauzi Plin dalam satu majlis di sini, semalam.

Sebelum ini, IOTM dan TMOTM telah dianugerahkan Anugerah Kelas Emas 1 dan Anugerah Perak, masing-masing di Anugerah MSOSH ke-40 atas usaha berterusan mereka untuk mengekalkan standard keselamatan dan kesihatan yang tinggi dalam semua aspek operasi terminal mereka.

Suara Sarawak