PENJELASAN…Buda Anchah (tengah) ketika bercakap kepada pihak media.

KUCHING: Jaguh bina badan Sarawak Buda Ancah, Dr Malvern Abdullah dan Philomena Dexclyn berdepan dilema
dalam mengharungi rutin latihan harian mereka.

Barisan atlet berpengalaman itu amat memerlukan dana khas untuk menampung keperluan makanan tambahan yang diguna setiap hari semasa latihan.

Tuntutan terhadap makanan tambahan itu penting bagi mengekalkan susuk tubuh badan sedia ada.

Apatah lagi, kesemua mereka terbabit antara atlet bina badan yang berpotensi menyumbang pingat buat kem negara tatkala tersenarai menggalas cabaran negara di temasya Sukan SEA Cambodia 2023.

“Makanan tambahan antara yang paling penting dalam sukan bina badan. Keperluan makanan tambahan bagi seorang atlet bina badan ialah RM100 untuk satu hari. Memang kos tersebut agak tinggi, akan tetapi disebabkan semangat mahu mengharumkan nama negara, segala permasalahan itu diketepikan dahulu,” tegas Buda.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) setiba dari Phuket, Thailand selepas menyertai Kejohanan Bina Badan Dunia & Sukan Fizik 2022.

Buda turut memberi bayangan betapa proses untuk makanan tambahan itu diperlukan sekurang-kurangnya lima bulan sebelum pertandingan.

Justeru katanya, bayangkan kos keseluruhan untuk seorang amat tinggi.

“Oleh itu, saya dan rakan-rakan amat berharap pihak Kerajaan Sarawak terutama Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan dapat memberi maklum balas berhubung perkara itu,” jelas beliau lagi.

Suara Sarawak