KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memandang serius dakwaan yang menyentuh mengenai kod etika profesional pengamal perubatan dan tidak akan berkompromi dengan kakitangannya yang melanggar etika penjawat awam.

Pengarahnya Dr Ooi Choo Huck berkata, pihaknya sentiasa memandang berat berkaitan keselamatan pesakit-pesakit yang menerima rawatan perubatan khususnya di semua fasiliti JKNS.

Justeru, beliau berharap kes seorang doktor di negeri ini yang didakwa mencabul pesakit ketika memberi rawatan tidak menjejaskan penerimaan perkhidmatan perubatan dalam kalangan orang ramai.

“Adalah dimaklumkan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis. Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berkaitan dakwaan tersebut pada hari yang sama, 29 Disember lalu dan satu tangkapan polis telah dilakukan.

Sementara pada Jumaat, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata seorang pegawai perubatan lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencabul pesakit wanita di sebuah pusat perubatan di sini.

Suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama kejadian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuching yang menerima laporan mangsa berusia 34 tahun dan kes mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa suspek mencabul kehormatannya ketika dia menjalani prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan sekitar jam 11.30 pagi.

Suara Sarawak