KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta untuk menyiasat punca berlakunya banjir di Kampung Jugan, Bau.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia susulan punca banjir di kampung terbabit dilaporkan berlaku selepas pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dilaksanakan.

“Kita diberitahu ada isu-isu. Pertama adalah mengenai isu pembentung di kawasan hilir mungkin tidak cukup bagi mengeluarkan air.

“Untuk makluman banjir di sini baru dua kali berlaku, sebelum ada LPB tiada banjir.

“Jadi ini adalah dari JKR, pasukan mereka akan melihat sama ada pembentung puncanya, sekiranya benar lebih senang kita cari cara menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Jugan Bau, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, PPS yang dibuka akan terus dipantau bagi memastikan mangsa yang dipindahkan mendapat kemudahan sewajarnya serta bekalan makanan mencukupi.

PPC Kampung Jugan menyaksikan seramai 19 mangsa telah dipindahkan sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekiranya hujan mulai reda diikuti situasi air dalam keadaan terkawal.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Poge Nyaon, dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Tawang Linggem.

Suara Sarawak