
KUCHING: Juma’ani Pavilion merupakan hab fesyen pertama, sekali gus menjadi pusat sehenti fesyen terkemuka di Borneo, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia juga berperanan sebagai pusat latihan untuk pereka fesyen muda tempatan yang berbakat, seterusnya menjadi usahawan berjaya dalam bidang fesyen dan tekstil.
“Tidak terhad kepada itu, hab fesyen ini juga menjadi satu-satunya platform pemasaran produk warisan tempatan yang dihasilkan oleh anak Sarawak, dalam mempromosikan kesenian dan kebudayaan negeri ini melalui fesyen,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Juma’ani Pavilion di Vista Tunku Petra Jaya, dekat sini, malam tadi.
Tambahnya, Juma’ani Pavilion merupakan sebuah tempat untuk para pereka tempatan berkarya menghasilkan rekaan-rekaan fesyen mengikut trend semasa dengan menggabungkan elemen warisan di dalamnya.
Kata Abang Johari, pereka tempatan tersebut terbahagi kepada dua iaitu pelatih Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) yang mengambil jurusan Teknologi Fesyen dan pereka fesyen tempatan yang sedia ada.
“Setiap pelatih yang mengambil bidang ini akan diberi pendedahan secara menyeluruh bermula dari proses menjahit sehinggalah membuat rekaan.
“Bagi melahirkan pelatih yang cemerlang dalam bidang ini, Centexs telah melantik empat pereka fesyen tempatan untuk membantu pelatih-pelatih ini,” ujarnya.
