Datuk Snowdan Lawan

KUCHING: Dengan lima menteri penuh dari Sarawak dilantik dalam Kabinet yang dikecilkan, diyakini mereka mampu membawa suara Sarawak di peringkat Persekutuan.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan memberitahu, ia juga menunjukkan bahawa Sarawak diwakili dengan baik.

“Dengan barisan Kabinet baharu ini, kita menaruh harapan tinggi bahawa apa sahaja manifesto dan janji yang dibuat ditunaikan dan bukan retorik semata-mata.

“Sama ada Kabinet dibesarkan atau dikecilkan adalah hak Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Beliau lebih arif tentang keperluan dan kapasiti sebenar.

“Yang penting, kita mahukan kabinet yang berkesan untuk memacu negara ke hadapan dalam semua aspek,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar dan memerlukan beberapa usaha untuk mempercepatkan pembangunan di negeri ini.

“Selain diberikan peruntukan yang lebih banyak, kita juga berharap agar kuasa diberikan kepada menteri yang dilantik agar tugas dapat digalas dengan sebaiknya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu bahawa kerajaan negeri tetap akan menumpukan kepada pembangunan dan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) agar ditunaikan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Suara Sarawak