CCTV yang terletak di bulatan kecil Jalan Dogan.

KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa untuk meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada sebelum melaksanakan projek pemasangan CCTV berskala besar seperti yang diumumkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian baru-baru ini.

Pembantu Khas kepada Adun Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian berkata, ketika ini terdapat 18 CCTV di pelbagai lokasi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dipasang untuk percubaan bagi rancangan masa hadapan.

“Ia dipasang pada harga RM600,000 atau lebih kurang RM33,000 bagi setiap CCTV. Beberapa atau mungkin majoriti tidak beroperasi termasuk di Jalan Arang dan bulatan Jalan Dogan.

“Bagi saya, Kerajaan Sarawak wajar meneliti program CCTV sedia ada sebelum memulakan projek berskala besar seperti rancangan pemasangan 800 CCTV di 200 lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, kerajaan patut melihat sistem CCTV sedia ada terlebih dahulu dan memastikan semuanya berfungsi dengan baik.

“Sebarang isu atau masalah yang dihadapi perlu dikenal pasti dan diperhalusi sebelum memulakan satu lagi projek berskala besar yang akan menelan belanja berpuluh juta ringgit,” ujarnya.

Seperti didesak Parti Tindakan Demokratik (DAP) selama ini tambah Michael Kong, tadbir urus yang baik mesti ada untuk memastikan sesuatu projek dilaksanakan dengan betul, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

Suara Sarawak