KUCHING: Langkah lebih drastik akan dilakukan Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit (KAPFA) dalam usaha memperkasa program atau aktiviti sepanjang tahun 2023.

Selain fokus kepada penganjuran Liga Kapit, aktiviti lain seperti pelaksanaan kejohanan futsal, kursus kejurulatihan mahu pun kursus pengadil juga turut berada dalam radar pihaknya.

Presiden KAPFA Nicol Agoi memberitahu, belum ada ketetapan terperinci berhubung pelaksanaan program berkenaan ketika ini.

PRESIDEN KAPFA…Nicol Agoi.

“Kita akan bermesyuarat dengan barisan Exco KAPFA untuk membincangkan secara terperinci program pada tahun depan.

“Mesyuarat tersebut akan diadakan pada bulan Januari dan segalanya akan dapat diketahui selepas itu,” tegas Nicol kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengakui, penganjuran Liga Kapit 2023 bakal menyaksikan perubahan format.

“Mungkin kita akan mewajibkan penyenaraian pemain muda dalam setiap pasukan yang akan turut serta.

“Pendekatan dilakukan ini diharap dapat mengenal pasti bakat pemain muda, sekali gus berperanan menjadikan Bahagian Kapit sebagai lubuk melahirkan pemain pelapis selepas ini,” tambah Nicol lagi.

Suara Sarawak