Martin Ben ketika merasmikan Karnival Usahawan Tani Jabatan Pertanian Sarawak, di Mydin Vista Tunku

KUCHING: Penganjuran Karnival Usahawan Tani penting bagi menyediakan platform pendedahan kepada para usahawan, kata Martin Ben.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) itu berkata, wujudnya program seumpama ini dapat membantu menonjolkan hasil produk yang mereka jual.

“Menerusi karnival ini, para usahawan dapat membuat promosi terhadap produk-produk keluaran kepada orang ramai.

LAWATAN… Martin Ben bersama-sama yang lain menyantuni setiap gerai usahawan ketika Karnival Usahawan Tani Jabatan Pertanian Sarawak, di Mydin Vista Tunku

“Selain itu, mereka dapat mencari agen, pengedar atau stokis melalui konsep persamaan perniagaan (Business Matching).

“Pada masa sama, program seperti ini juga dapat memastikan usahawan terus berdaya saing dan menjamin kelansungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan Tani Jabatan Pertanian Sarawak, di Mydin Vista Tunku, di sini, hari ini.

Selain itu jelasnya, adanya program sedemikian dapat mendedahkan ilmu perniagaan terutama kepada usahawan-usahawan baharu.

Dalam pada itu, karnival tersebut disertai 45 peserta terdiri daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Usahawan Agromakanan, Usahawan Perikanan Darat, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Institut Pertanian Sarawak dengan harapan dapat membantu meningkatkan pendapatan asas petani, sekali gus mendedahkan produk yang ada di Sarawak.

Suara Sarawak