KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan tiga kes penyeludupan dadah berbahaya dalam tempoh November sehingga Disember, tahun ini.

Pengarahnya, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, ketiga-tiga kes melibatkan dadah jenis ketamin dan ganja itu membabitkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM238,510.

Katanya, kes terbaharu berlaku pada 14 Disember lalu iaitu cubaan menyeludup dadah jenis ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

MAMPAT…Cubaan pengedar untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa dengan menggunakan sistem kurier membalut daun kering dipercayai dadah jenis ganja.

“Pasukan telah menyita dua bungkusan kurier, iaitu pertama dikesan pada jam 10.30 pagi manakala bungkusan kedua dikesan sekitar jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan terhadap bungkusan pertama menjumpai lapan paket kedap udara mengandungi ketulan mampat daun tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Seterusnya pasukan menemui empat serupa di dalam bungkusan kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UBAT…Hasil pemeriksaan lanjut bungkusan ubatan tradisional mengandungi dadah jenis ketamin.

Hasil rampasan tersebut katanya dianggarkan bernilai RM14,350 secara keseluruhan.

Sementara itu, kes kedua membabitkan tangkapan dua warga emas berusia 60-an hasil penemuan 500 paket didakwa ubat tradisional cina yang didapati positif ketamin.

“Menurut keterangan suspek mereka sudah beberapa kali membeli barangan tersebut daripada penjual di sebuah negeri di utara Malaysia,” katanya.

Bagi kes ketiga pula, Ahmad Taufik menjelaskan seorang lelaki ditahan di sebuah premis kurier di Miri selepas pemeriksaan awal mendapati bungkusan berkenaan berisi dua ketulan mampat daun tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1,042 gram dianggarkan bernilai RM4,600.

Ahmad pada masa mendedahkan ketiga-tiga kes mempunyai modus operandi tersendiri.

Untuk rekod, JKDM Sarawak mencatatkan rampasan lebih 48 kilogram (kg) dadah di Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri bernilai RM2, 676, 093 bermula awal tahun sehingga November lalu.

Suara Sarawak