KUCHING: Sarawak berharap jawatan empat menteri penuh daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikekalkan walaupun jumlah Kabinet Persekutuan baharu bakal dikecilkan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau percaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan melupakan harapan pemimpin GPS.

“Seperti yang diberitahu oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, diharap empat orang menteri penuh dari Sarawak dikekalkan walaupun jumlah kabinet akan dikecilkan.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

“Jika jumlah tersebut masih dikekalkan, ia sesuatu yang sangat baik untuk negeri ini,” katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian ketika ditanya pemberita pada sidang media Bengkel Pertandingan Kaligrafi Arab dan Kaligrafi Cina Peringkat Kebangsaan 2022, di sini, hari ini.

Tambahnya, ia satu tugas berat untuk Perdana Menteri Ke-10 itu membuat keputusan dalam penubuhan Kabinet yang memuaskan semua parti terlibat dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

“Tetapi saya percaya Perdana Menteri tidak akan lupa dengan harapan pemipin GPS dan Kerajaan Sarawak. Malah saya percaya Kabinet baharu itu bakal memberi kepuasan kepada semua parti terlibat,” ujarnya.

Perdana Menteri dilaporkan bakal mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada petang ini.

Untuk rekod, dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, GPS mempunyai empat menteri penuh merangkumi Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi, Datuk Alexander Nanta Linggi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Selain itu, empat Ahli Parlimen dari GPS juga dilantik sebagai Timbalan Menteri termasuk Datuk Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aaron Ago Dagang menjawat jawatan Timbalan Menteri II Kesihatan dan Datuk Henry Sum Agong merangkap Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar serta Datuk Willie Mongin dilantik Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Suara Sarawak