Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak mengalu-alukan keputusan pengemaskinian kadar Caj Perkhidmatan Sistem Masuk dan Keluar (EES) oleh kerajaan Brunei Darussalam kerana ia dapat mengurangkan beban rakyat terutamanya rakyat Sarawak yang merentas sempadan di antara Miri, Brunei, Limbang dan Lawas bagi urusan kerja, belajar dan lawatan sosial.

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata pengemaskinian kadar bayaran EES itu juga diharap akan memudahkan urusan import dan eksport barangan sekali gus mempergiatkan lagi aktiviti sektor ekonomi antara Sarawak dan Brunei.

“Semoga keputusan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara Sarawak, Malaysia dan Brunei pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lee, kementeriannya telah menerima kenyataan rasmi daripada Konsulat Jeneral Brunei Darussalam di Kuching mengenai pengemaskinian kadar Caj Perkhidmatan EES yang akan berkuat kuasa pada 12 Disember 2022.

Katanya berdasarkan kenyataan tersebut, kadar caj EES terkini bagi kenderaan yang membuat perjalanan melalui semua pos kawalan darat di Brunei adalah seperti bagi kenderaan penumpang dengan muatan tidak melebihi tujuh orang termasuk pemandu, akan dikenakan bayaran sebanyak BND3.00 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

Bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada tujuh orang hingga 25 orang termasuk pemandu seperti van atau bas mini, akan dikenakan bayaran sebanyak BND6.00 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

Untuk kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada 25 orang termasuk pemandu seperti bas, akan dikenakan bayaran sebanyak BND10.00 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

Bagi kenderaan komersial yang tidak memerlukan pemeriksaan melalui mesin pengimbas akan dikenakan bayaran sebanyak BND6.00 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

Manakala bagi kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan melalui mesin pengimbas akan dikenakan bayaran sebanyak BND10.00 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

“Bayaran caj perkhidmatan akan dikenakan ke atas semua kenderaan yang melalui semua pos kawalan darat Brunei tanpa mengira tempat pendaftaran kenderaan tersebut, iaitu sama ada ia mempunyai pendaftaran Brunei atau berpendaftaran luar negara,” kata Lee.

Selain itu, Lee berkata bayaran caj perkhidmatan akan dikecualikan bagi pejalan kaki dan kenderaan-kenderaan seperti basikal, motosikal serta kenderaan yang dimiliki oleh Kerajaan Brunei atau kerajaan luar negara bagi kegunaan rasmi.

Ia termasuk kenderaan yang dimiliki oleh pegawai kerajaan Brunei atau kerajaan luar negara bagi menjalankan tugas rasmi, kenderaan yang dimiliki oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, kenderaan khusus seperti ambulans, bomba, polis dan kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengebumian.

Selain itu kenderaan yang digunakan oleh mana-mana orang di bawah Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna) (Bab 117) dan Akta Perhubungan Konsular (Bab 118).

Suara Sarawak