Pengarah JTS Sarawak Datuk Abdullah Julaihi

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menegaskan bahawa kenaikan kadar cukai tanah baharu adalah tidak melebihi 100 peratus daripada kadar cukai tanah lama.

Pengarahnya Datuk Abdullah Julaihi berkata, ia sama sekali tidak naik kepada 400 peratus sehingga 700 peratus seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

“Di samping itu, kenaikan ini hanya melibatkan lapan peratus atau 59,710 daripada keseluruhan tanah berdaftar di Sarawak.

“Secara keseluruhannya tanah berdaftar di negeri ini berjumlah 734,388 yang melibatkan tanah kegunaan komersial, industri, pejabat dan rekreasi.

“Manakala 92 peratus atau 674,678 lagi tanah yang dimiliki oleh rakyat Sarawak adalah kekal tidak dikenakan cukai tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menggesa Kerajaan Sarawak menarik baik keputusan menaikkan kadar cukai tersebut yang menurutnya meningkat kepada 400 hingga 700 peratus.

Mengulas lanjut, katanya dakwaan dan pengiraan mengatakan kenaikan kadar cukai tanah baharu kepada 400 sehingga 700 peratus adalah tidak tepat dan menggelirukan.

“Malahan semakan cukai tanah ini juga melibatkan pengurangan kadar cukai tanah antara tujuh peratus sehingga 20 peratus bagi beberapa kegunaan tanah tertentu.

“Kadar baharuini secara relatifnya masih antara yang terendah di Malaysia dengan merujuk kepada bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur berharga RM4.60 semeter persegi, Shah Alam (RM3.30), Ipoh (RM3.08), George Town (RM2.58) dan Johor Bahru (RM2.16),” tegasnya.

Perbandingan peratusan kadar cukai tanah lama dan baharu.

 

Perbandingan peratusan kadar cukai tanah lama dan baharu.

 

Suara Sarawak