KUCHING: Kenaikan mendadak harga babi di Sarawak adalah atas faktor kekurangan babi untuk disembelih kerana banyak ladang babi telah dijangkiti oleh penyakit Demam Babi Afrika (ASF), kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Selain itu, katanya banyak ladang babi ditutup disebabkan bilangan babi menurun daripada 400,000 ekor sebelum wabak kepada lebih kurang 250,000 ekor sekarang.

“Kenaikan harga babi ini adalah disebabkan wabak ASF dan banyak babi telah ditakai kerana dijangkiti oleh ASF, penutupan ladang dijangkiti dan rumah sembelih yang tercemar.

“Tambahan pula kenaikan harga makanan ternakan seperti bijirin jagung melambung tinggi berikutan perang antara Ukrain dan Rusia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai kenaikan mendadak harga babi di pasaran di Sarawak, yang kini mencecah sehingga RM40 sekilogram.

Bagaimanapun, Rundi berkata kalau dibandingkan dengan harga di Sarawak, harga babi di Sabah dan Semenanjung jauh lebih tinggi kerana babi di sana tidak mencukupi.

Namun, katanya bekalan babi di Sarawak adalah mencukupi bagi menampung keperluan tempatan kerana Kawasan Penternakan Babi (PFA) Pasir Putih, Simunjan berupaya mengeluarkan 20,000 ekor babi sebulan.

“Bekalan adalah mencukupi untuk perayaan Krismas dan tahun baharu.

“Ia dihasilkan oleh PFA Pasir Puteh, Simunjan dan telah diiktiraf oleh Singapore Food Agency (SFA) untuk penghasilan daging babi yang selamat dan dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak.

“Pengimportan daging babi juga dibenarkan dari negara yang bebas Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) dengan memohon permit import dari JPV Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Rundi memberi jaminan bahawa pemantauan dan kawalan harga babi akan terus dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian bertanggungjawab dan dibantu oleh JPV Sarawak bagi kajian harga dan kawalan import eksport.

Suara Sarawak