Kepimpinan Wanita PBB sehingga ke Kerajaan Perpaduan

KUCHING: Kejayaan Datuk Seri Nancy Shukri dipilih sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kabinet menjadi bukti kepimpinan ahli wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah efisien.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lingga Dayang Noraazah Awang Sohor mengakui, pencapaian kaum wanita Sarawak dalam tampuk kepimpinan tertinggi kerajaan, justeru menjadi kebanggaan khasnya terhadap parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri ini.

“Pelantikan Nancy, selaku wakil wanita PBB adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi seluruh wanita PBB, GPS dan rakyat Sarawak.

“Platform ini dijangka akan membantu melancarkan lebih banyak bantuan kebajikan khususnya kepada rakyat Sarawak yang memerlukan.

“Harapan kita agar lebih ramai menteri dalam kalangan Ahli Parlimen Sarawak dapat dilantik bagi memacu pembangunan Sarawak yang lebih efisien demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya, kejayaan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dipilih selaku Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta Menteri Perladangan dan Komoditi turut mencatat pencapaian bersejarah buat GPS.

“Inilah kali pertama TPM dilantik dalam kalangan rakyat Sarawak dan parti GPS.

“Diharap ekonomi dan pembangunan Sarawak akan lebih bersinar serta memperkuatkan usaha GPS dalam memenuhi tuntutan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau justeru mengharapkan agar Kerajaan Perpaduan dapat membawa Malaysia ke arah negara maju, aman dan jaya.

Suara Sarawak