KUCHING: Kabinet Kerajaan Persekutuan secara dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan sebuah institusi atau jabatan khusus bagi menjaga kebajikan kanak-kanak di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Nancy Shukri berkata, saranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) tersebut amat baik dan beliau telah memberi pandangannya mengenai perkara itu semasa mesyuarat kabinet.

“Kabinet Persekutuan telah bersetuju dari segi prinsip. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami di kementerian untuk menyusun atur dan melihat lagi sama ada ia boleh ditubuhkan menjadi sebuah agensi.

“Ini kerana setakat ini memang sudah ada bahagian kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kementerian kita, tetapi ia mungkin perlu diperbaiki lagi.

“Kita masih dalam proses untuk melihat perkara ini supaya ia dapat memberikan fokus lebih kepada golongan kanak-kanak sahaja. Ini memang satu saranan yang baik,” katanya.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Pusat Penjagaan Ibu Selepas Bersalin, Mama Care, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, hari ini.

Sementara ketika diminta mengulas mengenai kes penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa, Nancy berkata terdapat beberapa institusi di bawah kementeriannya yang membantu dalam memberi penjagaan serta pelindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

“Mengenai isu kanak-kanak yang didera, ia perlu melalui beberapa proses tertentu seperti prosedur mahkamah dan sebagainya. Selepas proses dan keputusan mahkamah itu, barulah JKM dapat memberi pelindungan kepada kanak-kanak yang terlibat.

“Oleh sebab itu, kita memerlukan bantuan seluruh komuniti tempatan khususnya jiran-jiran yang prihatin untuk membantu sama kerana tanggungjawab menjaga kebajikan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera tidak hanya di bawah kementerian,” tegasnya.

Suara Sarawak