ANGKAT SUMPAH…Datuk Seri Huang Tiong Sii mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara Kuala Lumpur. (Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sarikei)

SARIKEI: Ahli Parlimen Sarikei Datuk Sri Huang Tiong Sii beriltizam bekerja keras mengalas amanah yang diberikan kepadanya sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Beliau berkata, keazaman itu selaras dengan perjuangannya dan slogan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan Sarawak.

Bagaimanapun dalam konteks negara katanya, tugas berat yang dipikulnya itu menuntut komitmen yang sangat tinggi.

“Ini juga sejajar dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan gabungan GPS khususnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga berterima kasih kepada kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan tersebut.

Beliau mengakui jawatan yang disandangnya itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan sebaik mungkin.

“Saya akan berusaha untuk membawa suara rakyat demi kemajuan negara selain menjadi pendengar setia dan perantara terbaik untuk rakyat.

“Sudah pasti, saya tidak melupakan sumbangan dan sokongan seluruh penduduk Sarikei dan Meradong, ahli SUPP Sarikei-Meradong dan pasukan pusat khidmat dan semua kakitangan atas sokongan mereka pada PRU -15, tempoh hari,” ujarnya.

Sabtu lalu, Tiong Sii mengangkat sumpah dihadapan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah di Istana Negara Kuala Lumpur.

Suara Sarawak