Adun Tupong merangkap Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman ketika ditemui wartawan.  FOTO : Ramidi Subari

KUCHING: Penting untuk melihat secara keseluruhan Kabinet yang dibentuk bagi memastikan kerjasama di peringkat persekutuan dapat dijalinkan, kata Fazzrudin Abdul Rahman.

Adun Tupong merangkap Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu memberitahu bahawa ia penting bagi memastikan kesejahteraan dapat diwujudkan demi rakyat.

“Itu lebih penting buat masa ini. Kita perlu faham bahawa Kerajaan Perpaduan terbentuk susulan tiada parti berjaya meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, kita setuju membentuk kerajaan tersebut demi kestabilan politik dan negara. Walaupun berbeza ideologi, kita tetap duduk bersama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Bagaimanapun, Parti Tindakan Demokratik (DAP) di peringkat negeri masih berperanan sebagai pembangkang dan kita harap mereka menjalankan tugas sebagai pembangkang yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Program Berkhatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Flat Sri Wangi, Matang, di sini, hari ini.

Justeru tambahnya, beliau meluahkan rasa syukur kerana ramai menteri dan timbalan menteri dilantik dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jelasnya, wujudnya ramai wakil di peringkat persekutuan dapat membawa impak positif terhadap pembangunan dan perkembangan Sarawak.

“Kita harap pembentukan Kabinet secara keseluruhannya kali ini dapat memacu negara menghadapi cabaran global yang berkemungkinan berlaku tahun hadapan.

“Kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah berlaku sebelum ini, namun kita berharap ia dapat dijalinkan dengan baik agar dapat berdepan cabaran yang mendatang,” jelasnya.

Suara Sarawak