KUCHING: Kompleks Sukan Spaoh, Betong yang dipilih sebagai gelanggang perlawanan akhir Piala Timbalan Premier Sarawak 2022, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 18 Disember ini mampu menampung kapasiti sehingga 1,000 penonton.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini berkata, jumlah tersebut mengambil kira tempat duduk yang tersedia dalam Kompleks Sukan Spaoh itu.

SELESA…Persekitaran tempat duduk penonton di Kompleks Sukan Spaoh, Betong.

“Terdapat dua kawasan tempat duduk berbumbung yang tersedia di Kompleks Sukan Spaoh dengan jumlah penonton yang ditetapkan 1,000 orang,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.

Tambah beliau, pihaknya percaya gelanggang terbaharu itu kelak mampu memberi keselesaan kepada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan akhir antara Jang Bukit Saban dan Semarang Village United pada tarikh yang ditetapkan itu.

SELESA…Persekitaran tempat duduk penonton di Kompleks Sukan Spaoh, Betong.

“Kita percaya penyokong tegas kedua-dua pasukan akan hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan akan berlangsung sama beberapa program sampingan pada hari yang sama.

“Kita mungkin menganjurkan beberapa program samping untuk memeriahkan suasana perlawanan akhir nanti,” tambah beliau lagi.

Suara Sarawak