HEBAT….Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (tengah) merakam gambar bersama-sama yang lain di majlis tersebut.

KUCHING: Semangat juang tinggi selain kerjasama berpasukan dan ditambah tahap disiplin diri yang tinggi, tiga elemen yang mempunyai signifikan tersendiri dalam mencetus kecemerlangan kontinjen SUK Sarawak pada Karnival Sukan SUKSEM VIII 2022 yang berlangsung di Selangor baru-baru ini.

Sekali gus, penyumbang kejayaan untuk muncul juara secara keseluruhan dengan menggumpul 51 mata selepas meraih 3 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa.

Demikian kata Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika berucap pada Program Post-mortem Dan Malam Penghargaan SUK Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini, malam tadi.

Beliau melihat semangat luar biasa dipamer semua yang terlibat mewakili Sarawak dalam karnival sukan terbabit yang secara tidak langsung begitu digeruni pasukan dari negeri lain.

“Syabas dan tahniah kepada semua yang telah mengharumkan nama Sarawak dalam karnival sukan terbabit.

“Saya percaya tiga elemen penting yang tersemat dalam sanubari tidak hanya atlet malah pegawai dan jurulatih antara penyumbang kejayaan ini,” ujar beliau.

Beliau sebelum itu turut memuji usaha serta komitmen dilabur semua pihak sepanjang karnival sukan itu berlangsung.

“Diharap anda semua dapat memgekalkan kecemerlangan yang telah dipamer pada karnival tersebut, sekali gus menjadi penanda aras terbaik untuk menghadapi kejohanan sama dua tahun dari sekarang,” jelas beliau.

Suara Sarawak