George Chan menerima cenderahati daripada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching di rumahnya, Petra Jaya, semalam.

KUCHING: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) telah mengadakan parti Hari Krismas bersama-sama bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam serta isteri Datuk Wira Lorna Chan di kediaman mereka di Petra Jaya, pada malam Ahad.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 40 pengamal media tempatan dan nasional merangkumi media cetak, elektronik dan penyiaran.

Tan Sri George Chan dalam ucapan ringkasnya berkata, majlis itu bertujuan untuk meraikan sambutan Krismas bersama-sama para media.

 

 

“Walaupun ia diadakan secara sederhana namun meriah, agar kita semua dapat menikmati sambutan perayaan bersama-sama dengan gembira,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KDJA Ronnie Teo turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada George Chan kerana menerima dengan tangan terbuka untuk menganjurkan parti Krismas di kediamannya.

“Terima kasih atas kemurahan hati Dr George Chan dan isteri yang menyambut kami ke rumah yang indah ini dan terima kasih juga kerana sering memikirkan media sepanjang tempoh perayaan ini.

“Selepas penat lelah, dan sudah berakhir fasa tekanan kita membuat liputan pada tahun yang sibuk ini, malam ini adalah malam untuk kita berehat sebentar dari memikirkan kerja,” katanya.

Majlis yang bermula seawal jam 7 malam itu turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan semua tetamu yang hadir.

Rakam kenangan… 40 media dari pelbagai agensi meraikan majlis Krismas

 

Koir Karol, persembahan nyanyian Krismas oleh media semalam.

Suara Sarawak