ABDUL KARIM merakam gambar bersama-sama jawatankuasa penganjur Pertandingan Kaligrafi Arab dan Kaligrafi
Cina Peringkat Kebangsaan 2022.

KUCHING: Bandar raya ini bakal menjadi tuan rumah Pertandingan Kaligrafi Arab dan Cina Peringkat Kebangsaan sebagai usaha mengukuhkan perpaduan serta persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pertandingan tersebut akan berlangsung dari 19 hingga 21 Disember ini di Hotel Imperial.

“Lebih 200 peserta dari seluruh negeri bakal menyertai pertandingan ini dengan 105 untuk kaligrafi Arab manakala 106 peserta kaligrafi Cina.

“Masing-masing bakal mempamerkan kemahiran dan keunikan mereka dalam seni halus ini.

“Terdapat empat kategori yang dipertandingkan iaitu terbuka dan sekolah menengah untuk kedua-dua kaligrafi tersebut dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM58,600,” katanya pada sidang media Pertandingan Kaligrafi Arab dan Kaligrafi Cina Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, Khamis.

Abdul Karim berkata, bengkel khas dan ceramah daripada pakar kaligrafi Arab dan Cina serta pameran daripada peserta turut diadakan sepanjang pertandingan tersebut.

“Pertandingan ini memberi peluang kepada semua untuk mempelajari asal usul kedua-dua kaligrafi yang merupakan warisan budaya dan identiti negara kita, pada masa sama mengasah kemahiran mereka,” ujarnya.

Tambahnya, kementeriannya turut menyambut baik sekiranya pertandingan tersebut dijadikan sebagai acara tahunan.

“Sekiranya penganjur mahu mengadakan program ini dan menjadikannya acara tahunan di Sarawak, kementerian akan sentiasa menyokong bagi memastikan penganjurannya berjaya.

“Ia turut menyumbang kepada sektor pelancongan kerana turut melibatkan peserta dari negeri dan negara lain. Saya percaya kita boleh meningkatkan minat orang ramai untuk datang berkecimpung dalam bidang seni ini,” jelasnya.

Pertandingan tersebut dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Persatuan Kaligrafi Cina KuchingSamarahan serta disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Pemenang kategori terbuka kaligrafi Arab dan Cina akan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, diikuti naib juara (RM3,000), tempat ketiga (RM2,000) dan saguhati RM800.

Sementara kategori sekolah menengah kedua-dua kaligrafi Arab dan Cina, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, diikuti naib juara (RM1,500), tempat ketiga (RM1,000), tempat keempat (RM800) dan 10 pemenang kaligrafi cemerlang (RM400 setiap satu).

Suara Sarawak