KOTA SAMARAHAN: Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan H2 Energy Sdn Bhd menandakan satu permulaan penting dalam usaha Sarawak untuk meningkat dan menerokai eksport tenaga hidrogen.

Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, ia juga penting sebagai  pembawa tenaga untuk memenuhi permintaan tenaga bersih global dan meletakkan Sarawak sebagai hab bagi rantaian nilai hidrogen.

MOU… Kadim (dua kanan) dan Muhammad Hatta (dua kiri) memegang dokumen MoU yang telah ditandatangani pada program “Borneo Leadership Talk Series 4/2022” di Dewan Muatiasa DeTAR Putra Unimas, di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk melangkah terus ke hadapan mereka perlu mempercepatkan usaha mencapai ekonomi hidrogen dan akur dengan cabaran yang sedia ada.

“Cabaran itu termasuk ketidakupayaan hidrogen untuk disepadukan dengan infrastruktur tenaga primer semasa, sumber teknologi terhad untuk menghasilkan hidrogen yang mampan, dan kekurangan kepakaran teknikal dalam bidang tersebut.

RAKAMAN KENANGAN… Kadim merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat serta wakil yang lain.

“Justeru, Unimas percaya kerjasama strategik seperti ini akan memberi manfaat kepada kita semua termasuk mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan meluaskan pengetahuan dalam teknologi serta pembangunan berkaitan hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis menandatangani MoU pada  program “Borneo Leadership Talk Series 4/2022” di Dewan Muatiasa DeTAR Putra Unimas, di sini, hari ini.

RAKAMAN KENANGAN… Kadim merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat serta wakil yang lain.

Tambahnya, hidrogen memainkan peranan utama pada masa hadapan dalam tenaga mampan walaupun kos pengeluaran pada masa ini tinggi.

“Namun, dengan teknologi pengeluaran yang cekap dari semasa ke semasa terdapat kemungkinan kos pengeluaran hidrogen akan berkurangan dan boleh berdaya saing dengan bahan api lain yang sedia ada di dunia,” ujarnya.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Kadim dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim. Manakala, syarikat H2 Energy Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya Muhammad Hatta Sukarni dan Pengarahnya Sandra Liz Hon Ai Ling.

Ia juga turut disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan H2 Energy Sdn Bhd Tan Sri Datuk Seri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Suara Sarawak