KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) komited melaksanakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencapai sifar kemalangan di kawasan pentadbirannya dengan memberi tumpuan kepada lokasi kerap kemalangan demi keselamatan penduduknya.

Datuk Bandarnya Datuk Wee Hong Seng berkata, antara usaha terbaharu pihaknya adalah memasang dua papan tanda peringatan radar kelajuan kenderaan di sepanjang Jalan Stutong.

“Seperti kita tahu, lokasi di sini memang sering berlaku kemalangan. Jadi pemasangan papan tanda radar ini adalah untuk mengingatkan pemandu supaya mematuhi had laju, ia memberikan maklum balas kepada pemandu di lorong laju tentang kelajuan kenderaan mereka ketika melalui jalan tersebut.

Datuk Wee Hong Seng (empat kiri) menyempurnakan pemasangan Papan Tanda Digital Peringatan Radar Kelajuan di Jalan Stutong, Kuching, hari ini.

“Ini sekali gus menyedarkan para pengguna jalan raya untuk memperlahankan kenderaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemasangan Papan Tanda Digital Peringatan Radar Kelajuan di sini, hari ini.

Menurutnya, maklumat kelajuan kenderaan itu dipaparkan secara digital pada paparan monitor diod pemancar cahaya (LED) untuk dilihat oleh pemandu yang melaluinya.

“Sekiranya kenderaan yang dikesan kekal dalam had laju 60kmph, maka paparan kelajuan berwarna hijau. Manakala jika kenderaan memandu melebihi had, maka paparan kelajuan dalam nombor merah, diikuti dengan perkataan perlahan,” jelasnya.

Dalam pada itu tegasnya, tanggungjawab menjaga keselamatan pengguna jalan raya bukan hanya di pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi juga tanggungjawab bersama semua pihak khususnya dalam mematuhi peraturan dan peraturan jalan raya.

Tambahnya, MBKS juga akan bekerjasama dengan PDRM untuk mencari lebih banyak kawasan kerap kemalangan bagi memasang papan tanda digital peringatan kelajuan kenderaan termasuk meningkatkan tahap keselamatan yang lain.

Suara Sarawak