Datuk Larry Sng

SIBU: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng melahirkan rasa kecewanya dengan barisan Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.

“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kekecewaan saya dengan barisan kabinet, memandangkan PBM yang merupakan antara yang terawal memberikan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10, tidak mempunyai perwakilan dalam kabinet,” katanya dalam catatan di laman sosialnya, hari ini.

Namun begitu, tegasnya, sebagai sebuah parti kita tidak boleh membiarkan kepentingan peribadi kita menghalang kepentingan negara.

“Semasa negara bergerak ke hadapan, kita juga akan memainkan peranan yang terhad untuk mengukuhkan asas kerajaan ini. Itulah yang patut di Malaysia,” ujar Ahli Parlimen Julau itu.

Dalam pada itu, Sng akan memanggil ahli partinya untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan PBM dalam beberapa hari akan datang, untuk menentukan hala tuju parti pada masa akan datang.

Beliau menegaskan bahawa PBM masih kekal sebagai parti nasional dan adalah penting untuk mengembangkan parti.

“Saya tidak menolak kemungkinan penggabungan atau membina gabungan kerana itulah jalan ke hadapan dalam landskap politik hari ini,” katanya.

Suara Sarawak