KUCHING: Lebih 1.6 juta kemasukan pelawat ke Sarawak direkodkan dari tempoh Januari sehingga November tahun ini, kata Sharzede Datuk Salleh Askor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) itu berkata, ia merupakan peningkatan lebih 900 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menurutnya lagi, ia sekali gus berjaya melepasi 1.2 juta pengunjung yang disasarkan untuk tahun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datuk Salleh Askor ketika berucap pada Majlis Malam Media STB di The Waterfront Hotel.

“Dalam tempoh tersebut juga, Sarawak telah mencatatkan RM3.87 bilion berbanding RM537 juta bagi tahun 2021.

“Jelas bahawa ia sememangnya satu tanda bahawa pelancongan di negeri ini sedang menjalani tahap pemulihan yang baik, bagi persedian bertemu 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Media STB di The Waterfront Hotel, di sini, semalam.

Sharzede (berdiri, tiga kiri) dan Setiausaha Tetap Pelancongan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Hii Chang Kee (berdiri, empat kiri) bersama-sama rakan media sempena Majlis Malam Media STB di The Waterfront Hotel.

Sehubungan itu, beliau turut meluahkan rasa terima kasih kepada para media yang bersama-sama dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Katanya, sokongan berterusan daripada para media dalam menyampaikan mesej kepada khalayak yang lebih luas memastikan Sarawak sentiasa berada dalam fikiran.

Suara Sarawak