TATAU: Sejumlah RM1.331 juta dana keseluruhan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diserahkan kepada 60 penerima di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kakus, di sini, hari ini.

Kesemua penerima geran terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKkK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan termasuk bantuan kepada JKKK Rumah Jungan, Tamin yang musnah akibat kebakaran pada Ogos lalu.

Turut disampaikan cek geran Unit Hal Ehwal Agama- Agama Lain (UNIFOR) kepada Gereja St. Paul, Kakus.

Datuk John Sikie menyampaikan cek geran MRP kepada salah seorang penerima.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap ADUN Kakus, Datuk John Sikie Tayai berkata setiap tahun sebanyak lebih kurang RM3 juta peruntukan MRP diagihkan.

Katanya, peruntukkan ini dapat membantu rumah rumah panjang untuk pembangunan seperti membaik pulih rumah panjang dan untuk melaksanakan aktiviti berkaitan.

“JKKK perlu memaklumkan kepada penduduk masing-masing mengenai jumlah geran yang mereka terima.

Datuk John Sikie menyampaikan geran UNIFOR kepada Ambrose Jayan yang mewakili Gereja St. Paul, Kakus.

“Ia seharusnya untuk manfaat masyarakat setempat, bukan disalah guna untuk kegunaan peribadi,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan geran MRP bagi DUN Kakus di Pejabat Daerah Tatau,.

ADUN Kakus itu menambah, geran MRP yang diterima tidak boleh digunakan bagi tujuan lain selain daripada yang dipohon sebelum itu.

Malah tegasnya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap para penerima geran MRP sekiranya didapati menyalahgunakan geran terbabit.

“Kita juga mahu setiap penduduk rumah panjang tahu setiap peruntukkan yang diterima dan harus terbuka serta telus dalam perkara ini,”ujarnya lagi.

Suara Sarawak