PASUKAN BBP Saratok sedang memadam kebakaran kereta berhampiran persimpangan Taman Mega dekat sini, lewat petang semalam.

SARATOK: Seorang lelaki berusia 49 tahun cemas apabila kenderaan jenis Toyota Stationwagon yang dinaikinya terbakar berhampiran persimpangan Taman Mega dekat sini, lewat petang semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok berkata, pihaknya dimaklumkan tentang insiden berkenaan sekitar jam 6.58 petang.

“Lapan anggota diketuai Hamden Bladi digegaskan ke lokasi dan sebaik tiba, sebuah kereta terbakar di bahagian dalam bermula bawah papan pemuka yang melibatkan 20 peratus kemusnahan.

“Pasukan bomba terus melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan air tangki jentera sehingga kebakaran terkawal dan padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya, pemandu dikenali sebagai Fathi Sawi dari Pusa sempat keluar dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi tamat 7.22 petang dan punca sebenar insiden masih dalam siasatan.

Suara Sarawak