KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana ceroboh masuk rumah pejabat syarikat pengurusan acara, Ogos lalu.

Tertuduh Mohamad Musa Sapali, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Ong Tiang Swee, sekitar jam 3.30 petang, 20 Ogos lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pada 21 Ogos lepas sekitar jam 12.01 tengah malam, pengadu yang turun bertugas ke pejabat terbabit mendapati tingkap sebelah belakang pejabat majikannya terbuka dan terdapat kesan diumpil.

Hasil pemeriksaan pengadu mendapati keadaan rumah pejabat tersebut berselerak. Pengadu tidak pasti jenis barang-barang yang hilang dalam rumah tersebut kerana tidak berani mengusik.

Selain itu, pengadu turut memaklumkan kepada majikannya yang sedang berada di Singapura.

Pengadu kemudian membuat laporan polis bagi mewakili majikannya untuk tindakan dan siasatan lanjut selain daripada terdapat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukan perbuatan pelaku.

Sehari selepas kejadian, pihak polis berjaya menahan tertuduh di Taman Malihah Jaya.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah masuk ke rumah pejabat majikan pengadu tanpa kebenaran dan rakaman CCTV jelas menunjukan perbuatan tertuduh.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak