Lelaki dipenjara miliki 0.28 gram Methamphetamine

KUCHING: Padah miliki 0.28 gram Methamphetamine dalam sebuah bilik di hotel terkemuka pada 11 tahun lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Ma Chung, 53, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia memiliki bahan terlarang itu di sebuah bilik di hotel terkemuka, Jalan Tun Razak, di sini, kira-kira jam 12.25 tengah malam, 4 September 2012.

Oleh itu tertuduh, didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta yang sama, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya, lapan tahun lalu.

Dia melakukan kesalahan itu ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 4.10 petang, 9 April 2015.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa Mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (Akta234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Suara Sarawak