SIBU: Tindakan seorang lelaki menghayunkan pisau sehingga mengganggu ketenteraman awam di Jalan Pulau, di sini membawa padah selepas ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam di tepi Jalan Bukit Assek.

TANGKAP layar…tindakan suspek mengayunkan pisau menerusi video yang tular.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu susulan tersebarnya satu video tular pada jam 5 petang semalam yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil menghayunkan sebilah pisau ke arah orang awam.

Susulan itu kata Zulkipli, polis pada hari yang sama lebih kurang jam 9 malam telah berjaya mengesan dan menangkap suspek berusia lingkungan 50-an itu di tepi Jalan Bukit Assek.

USPEK (melutut) ketika dicekup polis di Jalan Bukit Assek, Sibu pada malam tadi.

“Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas sebilah pisau serta sebuah motosikal.

“Semakan rekod polis juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambah beliau, kes berkaitan membawa senjata berbahaya di tempat awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.

Suara Sarawak