ALEXANDER NANTA LINGGI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh cadangan agar jawatan timbalan menteri dilantik dalam kalangan ahli parlimen daripada etnik minoriti, selain Iban dan Cina.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan, Kenyah, Melanau serta Iban harus diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya menyokong penuh cadangan agar lebih ramai ahli parlimen Sarawak dalam kalangan etnik Dayak dilantik sebagai timbalan menteri.

“Tidak dilupakan, ahli parlimen dalam kalangan komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang termasuk calon dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Formasi sebegini akan mencerminkan perpaduan dalam kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, wakil rakyat dari kaum lain juga sebenarnya berkebolehan, malah ada yang sudah berkhidmat selama beberapa penggal sebagai ahli parlimen dan senator.

“Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dan salah seorang daripada mereka pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

“Sehubungan itu, pengalaman luas barisan pemimpin ini perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik misalnya Datuk Willie Mongin, (Puncak Borneo-Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong (Lawas-Lun Bawang), Datuk Hanifah Hajar Tun Abdul Taib (Mukah-Melanau), Datuk Anyie Ngau (Baram-Kayan/Kenyah), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang-Iban) dan Datuk Seri Sophia Brodie (Sri Aman-Iban),” ujarnya.

Daftar percuma sebelum 31 Disember 2022 di https://stssapp.com/

Suara Sarawak