Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan  FOTO: Ramidi Subari

KUCHING: Lima daripada 23 projek Taman Perindustrian siap dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan industri di negeri ini, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan merangkap Timbalan Premier Sarawak itu berkata, ia termasuk di Kapit (siap kecuali jalan masuk), Demak Laut Fasa 2B, Betong (Fasa 1), Sri Aman dan Sematan (Fasa 1).

“Manakala, status bagi projek lain adalah seperti berikut. Sebanyak 10 projek masih dalam pelbagai peringkat pembinaan termasuk empat Taman Perindustrian di Bau, Sibu, Rantau Panjang dan Kluster PKS Samalaju.

“Diikuti, enam Anjung Usahawan di Sematan, Telok Melano, Gedong, Lawas, Sundar dan Kuala Lawas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, 33 projek berada di bawah pelbagai peringkat pra-pelaksanaan seperti pengenalan tapak, aplikasi penempatan dan reka bentuk kejuruteraan.

“Ia melibatkan 14 Taman Perindustrian, enam di Kuching diikuti Sebuyau, Meradong, Dalat, Song, Marudi, Long Lama, Limbang dan Lawas.

“Seterusnya, 16 Anjung Usahawan di Simunjan, Lubok Antu, Debak, Kampung Bungin, Kabong, Pakan, Meradong, Dalat, Daro, Balingian, Song, Bekenu, Beraya, Long Lama, Limbang dan Trusan.

“Akhir sekali, tiga Pusat Pemprosesan iaitu satu di Punang dan dua di Awat-Awat,” jelasnya.

Terdahulu, MINTRED mendedahkan bahawa sebanyak RM230.4 juta diluluskan untuk membangunkan 23 projek Taman Perindustrian, 22 Anjung Usahawan dan 3 Pusat Pemprosesan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Suara Sarawak