Adun Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Lion Nursing Home Datin Ellis Suriyati Omar (tiga kanan) di Pusat Penjagaannya di Jalan Stutong BDC di sini, hari ini.

 

KUCHING: Pusat jagaan warga emas kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lion Nursing Home telah menerima sumbangan dana berjumlah RM10,000 daripada Adun Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin.

Dana itu diserahkan kepada Pengerusi Lion Nursing Home Datin Ellis Suriyati Omar di Pusat Penjagaannya di Jalan Stutong BDC di sini, hari ini.

Wilfred berkata, sumbangan itu disalurkan bagi pelaksanaan aktiviti seperti latihan kepada warga emas serta aktiviti pembangunan kepada golongan belia.

Berdasarkan laporan baru-baru ini katanya, populasi warga emas Malaysia (65 tahun dan ke atas) meningkat daripada 3.7 peratus pada 1992 kepada 6.7 peratus pada 2019 dan jumlah ini diramalkan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2030.

“Justeru, saya berharap dengan lebih banyak rumah jagaan orang tua dibina dengan sokongan kerajaan Sarawak, ia akan dapat mengatasi peningkatan populasi warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Festival Makanan Tahunan Lion Nursing Home, di Jalan Stutong di luar BDC, di sini, hari ini.

Beliau mendedahkan kerja keras dan usaha yang dilakukan oleh Lions Home sejak 30 tahun lalu adalah luar biasa dan signifikan.

“Kita dapat melihat kualiti yang telah dilakukan oleh pusat jagaan ini dan kerja-kerja pentadbiran yang dihasilkan.

“Saya rasa itu hebat dan saya harap generasi akan datang akan mengambil masa untuk belajar daripada generasi yang lebih tua,” katanya lagi.

Bagi Festival Makanan Tahunan Lion Nursing Home, yang diadakan ini dari 8 pagi hingga 12 tengah hari di Jalan Stutong di luar BDC, di sini, ia disertai oleh 80 gerai.

Festival ini dianjurkan dan dikendalikan oleh 16 Lions Club di Wilayah 1, Kuching bersama kelab dari luar Kuching iaitu Lions Club of Sibu Berjaya, Sibu, Lions Club of Miri Central, Miri dan Lions Club of Kota Kinabalu Centennial Kota Kinabalu, Sabah.

Sumbangan diterima daripada lebih 20 Lions Club di seluruh Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Persatuan Orang Pekak dan Persatuan Penjagaan Kehidupan Kuching.

Bagi 15 kelab lions, mereka juga telah mengumpul sejumlah RM180,000 jualan tiket gabungan, jualan makanan dan sumbangan keseluruhan untuk Pameran Makanan Amal Tahunan tahun ini.

Suara Sarawak